Demikianlah, bahawa kejayaan dengan syurga dan keselamatan daripada
neraka adalah tujuan yang hendak dicapai orang yang mengerjakan solat,
berzakat, berpuasa, menunaikan haji, berzikir mengingati Allah dan
berjihad.
Untuk mencapai ke tahap itu mereka terpaksa memejam pandangan,
memelihara kemaluan dan perutnya, menjaga lidah serta menahan tangannya
daripada melakukan perkara terlarang. Perkara ini berterusan menjadi
adat kebiasaan sehingga Allah mengampuni mereka.
Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
Allah mempunyai malaikat yang sentiasa berkeliaran di jalan mencari
ahli zikir, apabila mereka mendapati satu kaum yang berzikir mengingati
Allah mereka memanggil temannya lalu mereka pun datang mengelilingi
orang yang berzikir dengan membentangkan sayapnya ke langit dunia. Lalu
mereka ditanya oleh Tuhannya, sedangkan Tuhan lebih mengetahui dari
mereka: Apa yang diucapkan hamba-Ku? Mereka menjawab: Hamba-Mu
menyucikan, membesarkan, memuji dan mengagungkan-Mu.
Allah bertanya: Adakah mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Tidak,
Demi Allah wahai Tuhan, mereka tidak melihat Mu. Allah bertanya:
Bagaimana jika mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Jika mereka melihat
Mu nescaya mereka lebih banyak beribadah kepada Mu, mengagungkan Mu,
dan bertasbih memuji Mu.
Allah bertanya: Apakah yang mereka minta kepada-Ku? Malaikat
menjawab: Mereka meminta syurga kepada Mu. Allah bertanya: Adakah mereka
telah melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai
Tuhanku, mereka tidak pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika
mereka melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka
melihatnya nescaya mereka lebih tamak lagi terhadapnya, lebih kuat
memintanya, dan keinginannya lebih besar padanya.
Allah bertanya: Dari apakah mereka berlindung? Malaikat menjawab:
Mereka berlindung dari neraka. Allah bertanya: Adakah mereka telah
melihat neraka itu? Malaikat menjawab: Tidak, demi Allah mereka belum
pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihatnya?
Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka pasti
lebih menjauhkan diri daripadanya, dan pasti lebih takut dengannya.
Allah bertanya: Aku menyaksikan kepada Kamu bahawa Aku telah
mengampuni mereka. Ada malaikat berkata: Di kalangan mereka ada si fulan
yang bukan dari golongan mereka, namun kedatangannya untuk sesuatu
hajat keperluan. Allah berfirman: Mereka adalah kaum yang tidak celaka
sesiapa yang duduk dalam majlisnya.”
Mengapa kita tidak memohon syurga kepada Allah, sedangkan Ibnu Abbas
meriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah menciptakan syurga dan
menjuntaikan padanya buah-buahannya, dan mengalirkan padanya
sungai-sungainya, kemudian memandang kepadanya lalu berfirman:
Bercakaplah, lalu diapun berkata: Sungguh berjaya orang yang beriman.
Lalu Allah berfirman: Demi keagungan Ku, engkau tidak akan dimasuki
orang yang bakhil kedekut.”
Mengapa kita tidak meminta kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam
syurga, sedangkan Rasulullah SAW pernah ditanya mengenainya, lalu
baginda bersabda: “Sesiapa yang masuk syurga akan hidup di dalamnya
tidak akan mati, dikurniakan nikmat padanya tidak pernah terputus, tidak
lusuh pakaiannya dan tidak hilang keremajaannya.
Sumber : Harian Metro Online.
oleh itu sentiasalah ingat pada Allah, sentiasalah memohon padaNya...
ردحذفDoa itu senjata orang muslim...
حذفإرسال تعليق
hai.. tQ sudi singgah di sini.. hope sudi komen sekali yea.. mekacehh.. =)